Eric Khor (kiri) dan Ahmad Mokhzani (kanan) pada majlis menandatangani perjanjian persefahaman antara kedua-dua pihak, baru-baru ini.



MENYEDARI pengguna sekarang lebih mengutamakan produk halal dalam kehidupan seharian, Wonder 7 Global Sdn. Bhd., iaitu sebuah syarikat pemasaran rangkaian mencari peluang untuk mengetengahkan produk sebegitu.

Ini kerana pasaran halal sentiasa berkembang dari masa ke semasa dan bukan lagi mengenai penjualan produk berasaskan daging semata-mata.

Apa yang lebih penting, produk halal mengutamakan piawaian berkualiti dari sumber, pengeluaran atau pengedaran yang meliputi keseluruhan jenis produk termasuklah makanan, rawatan diri, farmasi, penjagaan kesihatan dan selebihnya.

Lagipun, fokus pasaran halal adalah bagi memastikan semua produk selamat dan sesuai untuk digunakam oleh semua lapisan masyarakat.

Bersandarkan kepada fakta tersebut, Pengurus Besar Wonder 7 Global untuk Asia Tenggara & Greater China, Eric Khor berkata, mereka yakin dengan produk halal yang dihasilkan oleh Halagel (M) Sdn. Bhd.

Eric Khor yakin dengan produk halal yang dikeluarkan oleh Halagel (M) Sdn. Bhd.

Wonder 7 Global memulakan kerjasama yang signifikan ini dengan Halagel kerana mereka adalah jenama terkemuka dalam industri produk halal Malaysia.

Kerjasama ini penting sebagai tanda sokongan kami terhadap industri produk halal Malaysia. Selain itu, ia juga untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kewujudan pasaran produk halal dan untuk menyumbang dalam mempromosikan produk halal Malaysia ke pentas dunia

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan Halagel (M) Sdn. Bhd., yang diwakili oleh Pengurus Besarnya, Ahmad Mokhzani Ahmad Rodzi.

Wonder 7 Global akan pastikan produk Halagel menembusi pasaran antarabangsa dengan lebih meluas.

Tambah Eric, pihaknya, sedar bahawa Asia Tenggara, terutama Malaysia, adalah peneraju dan memacu pasaran halal sedunia. Persaingan serantau di antara negara-negara Asia Tenggara telah mendorong pasaran halal tempatan dan global.

Kami akan berusaha untuk memasarkan produk Halagel ke China setelah berjaya menembusi pasaran Filipina, Singapura dan Thailand. Adalah menjadi hasrat Wonder 7 Global membawa produk Halagel untuk pasaran Hong Kong, Taiwan dan Macau menerusi rangkaian yang dijalin.

Malah katanya, sebelum mengambil keputusan untuk bekerjasama dengan Halagel, pihaknya terlebih dahulu mencuba produk-produk jenama Halagel.

Ya, saya dan kakitangan Wonder 7 Global telah mencuba produk Halagel dan selepas yakin barulah kami mengambil langkah untuk menjalin kerjasama.

Kerjasama ini membenarkan kedua belah pihak untuk menggabungkan sumber dan kerjasama untuk mencapai tujuan strategik dengan memanfaatkan potensi besar dalam industri halal global melalui industri penjualan langsung, jelasnya.

Sementara itu, Ahmad Mokhzani berkata, dengan adanya kerjasama tersebut, diharap Halagel mampu menjadi jenama rumah tangga untuk produk halal di Malaysia dan seluruh dunia.

Walaupun sudah 23 tahun berada di pasaran, Halagel bukanlah entiti besar seperti jenama lain yang mempunyai sumber kewangan besar. Kita bergerak dalam kekangan bajet. Alhamdulillah kita masih bertahan dalam tempoh tersebut

Diharap dengan adanya kerjasama ini, Halagel menjadi pilihan utama seisi rumah dan mengukuhkan kedudukannya di pasaran antarabangsa,jelasnya.